Sabtu, (31 Mac 2018)
4.00 petang hingga 6.30 petang
Rumah Keluarga Angkat masing-masing
Objektif aktiviti bersama keluarga angkat adalah satu program yang dirancang bagi melatih mahasiswa memupuk sikap berkeyakinan tinggi apabila bergaul dengan masyarakat luar. Ini kerana, sikap berkeyakinan tinggi ini amat penting bagi seseorang pelajar apabila mereka menghadapi sesuatu cabaran yang baharu. Mereka juga dapat mengasah cara berkomunikasi dengan menggunakan pertuturan dan suara yang sopan apabila bertutur dengan orang yang berlainan umur. Selain itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim diantara penduduk Kampung Sentosa dengan mahasiswa SPAS UM. Hubungan diantara dua generasi ini dapat dilihat apabila mereka saling bertukar atau berkongsi pengalaman mereka tidak kira umur mahupun bangsa. Ikatan persaudaraan yang terjalin juga sedikit sebanyak dapat mebantu melancarkan lagi program yang diadakan ini. Aktiviti ini juga dapat membantu mahasiswa SPAS UM mengenali Kampung Sentosa dengan lebih rapat. Ini kerana, mahasiswa SPAS UM telah diberi peluang meluangkan masa bersama keluarga angkat masing-masing meronda atau melawat kawasan Kampung Sentosa sambil diterangkan oleh ibu mahupun ayah angkat mereka.
Pada hari kedua Program Jalinan Masyarakat, aktviti bersama keluarga angkat telah diadakan pada sebelah petang selepas aktiviti kempen sifar makanan dan pertandingan mewarna berlangsung. Para mahasiswa telah dimaklumkan keluarga angkat masing-masing sejak hari pertama lagi sewaktu diakhir majlis perasmian. Terdapat 14 keluarga angkat yang telah menawarkan diri untuk mengambil mahasiswa SPAS UM sebagai anak angkat mereka. Oleh disebabkan, jumlah mahasiswa SPAS UM yang terlalu ramai berbanding keluarga angkat yang sedia ada. Mereka telah diagihkan kepada 1 keluarga angkat bersamaan 2 orang mahasiswa dan mahasiswi SPAS UM.
Berikut merupakan senarai nama keluarga angkat serta nama mahasiswa SPAS UM yang diagihkan:
1) En. Mahmud Bin Karim - Rahina dan Intan
2) Hj Samsudin Bin Sidek - Jia Xin dan Dalila
3) En. Baharom Bin Mutalib - Afif dan Li Hui
4) Pn. Norziah Bt Abd Rani - Zakaria dan Anis
5) Pn. Zuriati Bt Ismail - Ziha dan Phoo Ni
6) Pn. Zainon Bt Abdullah - Nabilah dan Umi Naziera
7) Hjh. Dermataksiah Bt Mohamad - Farah dan Umi Kalsum
8) Pn. Dahlia Bt Sabinan - Dina dan Hafiza
9) En. Khairudin Bin Tuamah - Peter dan Jemima
10) Pn. Esah Bt Awang - Robberta dan Lynda
11) Pn Maznah Bt Talib - Meerashini, Wong Kah Fai dan Edwina
12) Pn. Norsaidah Bt Sulaiman - Ann Huey dan Chai Li
13) Pn. Marina Bt Muhamas - Soraya dan Sim Leng
14) Pn. Normah Bt Idris - Aqilah dan Zahira
Aktiviti ini berlangsung tepat pada jam 4.00 petang. Reaksi yang kelihatan diwajah mahasiswa dan mahasiswi SPAS UM sungguh teruja dan gembira apabila diumumkan bahawa mereka boleh mengikut keluarga angkat masing-masing. Terdapat beberapa aktiviti yang dilakukan oleh para mahasiswa dan mahasiswi SPAS UM bersama keluarga angkat masing-masing. Antaranya iaitu melawat kebun ibu angkat, melakukan aktiviti meronda kawasan kampung, melawat rumah keluarga angkat, memasak bersama-sama ibu angkat, melakukan aktiviti barbeku bersama-sama dan sebagainya.
Berikut merupakan gambar dan video aktiviti yang dilakukan oleh mahasiswa SPAS UM:
Aqilah sedang melawat empangan |
Aqilah sedang mengambil gambar bersama keluarga angkatnya. |
Pn. Normah Bt Idris sedang melawat empangan. |
Zahira sedang mengambil gambar bersama keluarga angkatnya. |
Zahira sedang melawat empangan. |
Penduduk Kampung Sentosa sedang membantu melakukan aktiviti barbeku. |
Mahasiswi SPAS UM sedang menolong keluarga angkat masing-masing menyiapkan barbeku. |
Makanan barbeku yang telah disediakan oleh Komuniti Kampung Sentosa. |
Salah seorang keluarga angkat sedang membakar ayam yang telah diperam. |
Ziha dan phoo ni sedang bergambar bersama-sama dengan ibu angkat mereka iaitu Pn. Zuriati Bt Ismail. |
Nabilah dan Umi Naziera sedang bergambar dengan ibu angkat mereka iaitu Pn. Zainon Bt Abdullah. |
Ziha dan Phoo Ni bergambar dengan salah seorang penduduk Kampung Sentosa. |
Mahasiswi SPAS UM berkerjasama bersama komuniti Kampug Sentosa menyiapkan hidangan barbeku. |
Nabilah sedang berborak-borak dengan penduduk Kampung Sentosa. |
Mahasiswi sedang mengambil gambar untuk dijadikan kenangan. |
Jia Xin dan Dalila bergambar dengan ayah angkat mereka iaitu Hj Samsudin Bin Sidek serta ditemani isterinya. |
Farah, umi kalsum, lynda dan roberta melawat rumah ibu angkat mereka. |
Dina bergambar bersama adik angkat. |
Afif dan Li Hui bersama ibu angkat mereka mengambil gambar untuk dijadikan kenangan. |
Ibu angkat Afif dan Li Hui membawa mereka pergi ke Genting Highland. |
Afif dan li hui bersama keluarga angkat mereka. |
Afif dan li hui melawat rumah ibu angkat mereka. |
Sim Leng dan Soraya bergambar bersama ibu angkat mereka iaitu Pn. Marina serta anak-anaknya. |
Refleksi
Dalila
Saya sangat gembira meluangkan masa bersama keluarga angkat saya kerana ayah angkat saya membawa saya dan Jia Xin meronda kawasan kampung dan membawa kami melawat rumah beliau. Saya juga dapat mengenali kisah keluarga beliau dan beramah dengan anak-anaknya. Saya juga kagum apabila saya mendengar bagaimana mereka membesarkan anak-anak mereka sehingga berjaya.
Lynda
Saya berasa bersyukur kerana dapat berinteraksi dengan keluarga ibu angkat saya walaupun pada masa yang singkat kerana saya dapat merasai kasih sayang yang ikhlas. Saya juga berterima kasih kerana beliau telah membuat kuih yang begitu sedap dan tidak dapat saya lupa masa meluangkan bersama-sama di rumahnya.
Jemima
Pada pandangan saya, aktiviti bersama keluarga angkat telah mengeratkan hubungan saya bersama keluarga angkat. Saya tidak berasa kekok bercakap dengan keluarga angkat selepas melawat rumah mereka. Selain itu, aktiviti bersama keluarga angkat adalah satu pengalaman yang baru dan berharga bagi saya.
Rahina
Daripada program keluarga angkat ini, saya dapat lihat bahawa hubungan pelajar SPAS menjadi lebih erat dengan penduduk Kampung Sentosa. Pada mulanya ada sedikit janggal tetapi lama kelamaan kejanggalan bertukar menjadi mesra. Saya dan Intan menjadi anak angkat kepada keluarga angkat En Mahmud dan dilayani sperti anak sendiri. Mereka mengajak untuk berbabeku dan makan bersama-sama. Kami sangat gembira kerana mempunyai memori bersama mereka.
Chai Li
Saya berasa amat gembira kerana mempunyai keluarga angkat yang sangat baik kepada saya. Saya memasak dengan mama dan bersembang bersama. Selepas siap masak, ayah pula baru balik dari kerja, kami berempat berborak seperti ahli keluarga yang sebenar. Selepas makan, mama membawa kami mengelilingi kampung sementara bercerita kepada kami mengenai kampung. Saya berasa aktiviti bersama keluarga angkatlah amatlah berjaya kerana kami amatlah rapat setelah aktiviti ini berakhir kerana sehingga sekarang kami masih berhubung melalui whatsapp. Saya harap hubungan ini berkekalan.
Zakaria
Pengalaman bersama keluarga angkat saya adalah sesuatu yang sungguh bermakna. Ibu angkat saya membawa mengelilingi kawasan Kampung Sentosa. Beliau menceritakan kepada kami sejarah kampung dan ia sungguh menarik bagi saya. Beliau juga membawa saya makan di rumahnya. Saya juga dapat belajar banyak tentang budaya melayu dan budaya Kampung.
Li Hui
Pada mula keluarga angkat ini bermula saya agak kekok kerana saya perlu mengenali sebuah keluarga yang saya tidak pernah jumpa. Tetapi selepas saya mengenalinya, beliau merupakan seorang yang peramah dan melayan kami dengan mesra. Beliau juga menceritakan banyak pengalaman beliau dan saya juga banyak mempelajarinya. Beliau dan anaknya juga ada membawa kami ke Genting Highland sebagai kejutan dan juga ada membeli hadiah untuk kami. Saya berasa sungguh terharu. Saya dan Afif ada juga merancang untuk membuat sesuatu kejutan. Kami bercadang membeli kek untuk menyambut hari lahir beliau lebih awal. Saya bersyukur mereka dapat menerima kedatangan kami dan berjanji untuk datang lagi ke Kampung Sentosa ini.
Soraya
Pada pandangan saya, progran keluarga angkat merupakan satu program yang amat baik kerana ikatan yang terjalin antara ibu dan anak angkat amatlah rapat seperti telah mengenali dalam waktu yang lama. Saya berharap hubungan yang terjalin ini dapat kekal selamanya.
Hafiza
Aktiviti keluarga angkat telah membentuk satu jalinan mesra serta mengeratkan hubungan silaturahim antara saya dan keluarga angkat. Aktiviti ini juga telah menambah kenalan dalam kehidupan saya. Saya berasa amat bersyukur kerana saya telah mendapat keluarga angkat yang baik serta memberikan banyak hadiah kepada saya. Walaupun aktiviti ini terjadi dalam masa yang terhad tetapi saya merasakan hubungan ini dapat berkekalan. Aktiviti ini juga dapat menjadikan satu platform bagi kami untuk berbakti kepada masyarakat.
Umi Kalsum
Saya berasa sangat gembira kerana dapat keluarga angkat yang baik, peramah dan pemurah. Saya juga dapat mengasah keyakinan untuk berinteraksi dengan orang tua.
Dina
Mama angkat saya sangatlah baik! Saya gembira program keluarga angkat ini dijalankan.
Peter
Saya berasa gembira dapat berkenalan dengan keluarga angkat saya. Saya amat menghargai masa kami bersama walaupun hanya sekejap sahaja. Bapa dan ibu angkat saya telah membawa saya ke kebun mereka selepas makan yang dimasak oleh ibu angkat saya. Di kebun mereka, memiliki pokok pisang, gaharu, durian belanda, dan banyak lagi. Ini merupakan pengalaman yang sangat bermakna untuk saya kerana ini merupakan kali pertama saya pergi ke kebun yang terletak di dalam hutan.
Robberta
Kita haruslah memberi komitmen dalam memastikan aktiviti yang dirancang berjalan dengan baik. Aktiviti keluarga angkat sangatlah berjaya kerana kami dapat melahirkan kasih sayang seperti keluarga yang sebenar.
Farah
Saya berasa sangat bersyukur dapat menjadi anak angkat kepada Pn Dermataksiah yang sangat baik hati dan penyayang. Beliau merupakan ibu yang sangat tabah dalam membesarkan anaknya seramai 5 orang bersendirian. Saya berasa sangat kagum melihat kecekalan beliau mendidik anaknya. Saya dan Umi berharap hubungan ini dapat diteruskan.
Phooi Ni
Saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana mempunyai keluarga angkat yang sangat mesra dan memberi layanan yang sangat baik kepada kami. Kami juga banyak berborak dengan gembira. Wan juga telah berkongsi banyak pengalaman dan cerita kepada kami dan saya telah mempelajari banyak benda yang bermanfaat. Walaupun masa yang sangat singkat saya telah membina hubungan yang baik dengan keluarga angkat saya.
Jia Xin
Aktiviti keluarga angkat ini merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Pakcik Hj Samsudin ialah atuk angkat kepada saya dan Dalila. Pakcik tidak kedekut berkongsi pengalaman hidupnya. Anak pakcik juga ada menyediakan makanan yang enak kepada kami. Kami bergaul mesra dengan keluarga angkat dan saya dapat merasai kasih sayang itu. Saya berterima kasih kepada keluarga angkat dan semoga pakcik kekal sihat.
Intan
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat. Walaupun pada mulanya agak kekok kerana belum mula mengenali keluarga angkat serapat-rapatnya kerana kekangan masa namun Alhamdulillah selepas menziarahi keluarga angkat dan bersama-sama menyiapkan makan malam, saya sudah hilang sedikit rasa janggal. Betullah bak kata perpatah tak kenak maka tak cinta. Jikalau ada masa dan kesempatan lagi, saya akan menziarahi keluarga angkat saya.
Afif
Slot keluarga angkat adalah yang terbaik bagi saya kerana saya dapat berinteraksi dengan orang luar secara mendalam dan lebih rapat. Aktiviti ini telah membantu saya dalam membina keyakinan untuk bercakap dengan masyarakat luar.
Zahira
Saya seronok dan bersyukur kerana mendapat keluarga angkat yang baik. Mereka melayan kami seperti keluarga sendiri walaupun baru sahaja kenal. Cuma masa yang diberi untuk bersama keluarga angkat amat terhad disebabkan kekangan waktu akan tetapi saya gembira dan berharap hubungan yang terjalin akan berkekalan.
Ziha
Saya berasa sangat bertuah kerana dapat bersama dalam program keluarga angkat di Kampung Sentosa sepanjang tempoh tiga hari. Ini kerana saya dapat beramah mesradengan keluarga angkat saya. Saya juga rasa cukup gembira di mana saya mendapat ibu angkat tetapi juga mendapat wan angkat dan mereka memberi layanan serta kasih sayang yang secukupnya buat kami. Walaupun kami hanya berada selama tiga hari kami menghargai seperti anak dan cucu mereka sendiri.
Aqilah
Program keluarga angkat merupakan program dan pengalaman baru buat saya. Mempunyai sebuah keluarga angkat memberi satu pengajaran yang baru kepada saya bahawa di dalam kehidupan ini kita boleh menjalinkan hubungan baik dengan mana-mana manusia tidak kira bangsa dan agama selagi mana kita menghormati antara satu sama lain.
Nabilah
Program anak angkat adalah program yang paling efektif kerana ia memupuk rasa kasih sayang terhadap kampung dan komuniti. Selain itu, program ini mengeratkan lagi silaturahim antara kami dan warga kampung. Jalinan keluarga tidak berakhir di situ saya berharap agar kami masih berhubung dengan keluarga angkat selepas ini.
Ann Huey
Saya berasa amat gembira dapat berkenalan dengan keluarga angkat saya di Kampung Sentosa. Ibu dan ayah angkat saya amatlah mesra dan melayan kami sebagai anak sendiri. Ibu angkat bukan sahaja memasak untuk kami malah membawa kami bersiar-siar di sekitar kawasan kampung. Saya berpendapat bahawa aktiviti ini amatlah berkesan dalam mengeratkan hubungan antara kami dengan masyarakat kampung. Hal ini amat penting bagi menjayakan kursus jalinan masyarakat. Diharap penduduk kampung sentosa gembira dengan kehadiran kami.
Edwina
Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana dapat berkenalan dengan ibu angkat saya iaitu ibu Maznah. Beliau merupakan seorang yang sangat berkasih sayang dan mengambil berat atas diri saya dengan rakan-rakan saya.
Anis
Pada pendapat saya, aktiviti yang dijalankan bersama keluarga angkat adalah sangat bermanfaat kerana selain dapat merapatkan silaturahim bersama penduduk Kampung Sentosa, kami juga dapat megenali kampung tersebut dan keistimewaanya dengan lebih lanjut.
Umi Naziera
Melalui program keluarga angkat, saya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk kampung iaitu keluarga angkat saya sendiri. Saya berasa gembira kerana diberi peluang diterima oleh ibu angkat saya dan dapat merasai hidup di kampung. Saya dan keluarga angkat telah meluangkan masa dan makan bersama-sama, ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami.
Wong Kah Fai
Terlebih dahulu saya berasa amat bersyukur kerana warga kampung menerima ketibaan saya dengan hati terbuka. Saya berasa amat gembira kerana mengenali ibu angkat saya, Pn Maznah kerana melayan saya seperti anaknya sendiri. Saya juga berasa bersyukur kerana ini merupakan kali pertama Pn Maznah menerima anak angkat untuk program seperti ini. Terima kasih dengan layanan yang baik dan makanan yang sungguh sedap. Ibu angkat saya juga banyak menceritakan pengalaman beliau dan saya gembira dapat bergaul dengan beliau dengan lebih mesra. Beliau ada juga membawa saya berjalan-jalan di sekitar kampung. Beliau juga berharap saya berjaya di masa hadapan dan menjemput saya menyambut hari raya di rumahnya. Semoga Pn Maznah sihat dan bahagia selalu.
Meerashini
Melalui aktiviti anak angkat dalam program jalinan masyarakat ini saya dapat seorang ibu yang amat penyayang. Saya berasa bertuah melibatkan diri dalam aktiviti ini kerana ia memberi banyak manfaat kepada saya. Saya juga dapat meluangkan masa saya bersama ibu angkat saya walaupun dalam masa yang singkat dan berharap agar ibu angkat saya sentiasa gembira dan sihat bersama keluarganya.
Sim Leng
Kami berbual-bual serta bersembang dengan penduduk kampung tidak kira umur. Mereka sangat baik hati walaupun kami berjumpa hanya dua hari, mereka telah menjemput kami ke rumah mereka dan memasak makan malam bersama-sama. Mereka juga sudi menerima kehadiran kami dengan hati yang terbuka dan saya dapat merasai kasih sayang yang diberikan. Semasa bersembang dengan mereka, mereka bercerita bahawa mereka rindu sewaktu mereka kecil kerana mereka bergaul dengan etnik lain. Dia juga memberitahu bahawa hubungan berinteraksi bersama etnik lain semangkin kurang dan berharap dengan adanya program seperti ini dapat dikekalkan selamanya. Kami berbeza daripada segi warna kulit dan budaya akan tetapi kesamaan semua kaum adalah kita memiliki satu hati yang ikhlas dan baik.
No comments:
Post a Comment