Saturday, 7 April 2018

Latihan Dalam Kumpulan Bermotivasi Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor

Hari Pertama
Jumaat (30 Mac 2018)
8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
Dewan terbuka SMK Syed Mashor


Objektif aktiviti ini dijalankan adalah untuk menjelaskan kepada para pelajar kepentingan mempunyai matlamat dalam kehidupan. Selain itu, aktiviti ini juga bertujuan membentuk para pelajar yang bersedia menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar khususnya. Melalui aktiviti ini pelajar didedahkan dengan input baharu seperti ilmu yang melibatkan fakta dan sains. Pelajar juga di latih untuk menjadi seorang yang lebih fokus dan bertindak mengikut keperluan. Secara terperinci, permainan, 'Yes or No' bertujuan mengasah minda pelajar di samping menambah input tambahan kepada pelajar. Bagi permainan 'Das tembakan' pula fokus merupakan isi penting yang ingin kami sampaikan kepada para pelajar. 'Bola matlamat' dan 'Hole trap' pula bertujuan mendidik pelajar sikap bekerjasama dalam satu pasukan dan kepentingan mempunyai matlamat itu sendiri.


Pada hari pertama, kami menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor di Batang Kali tepat jam 7.00 pagi bagi melaksanakan aktiviti pertama di bawah projek Jalinan Masyarakat. Aktiviti yang diberi nama Latihan Dalam Kumpulan Bermotivasi (LDK) ini dijadualkan bermula jam 8.00 pagi. Namun, kerana kesesakan jalanraya, aktiviti ini tidak dapat berlangsung pada masa yang sepatutnya kerana kami tiba lewat iaitu pada jam 8.20 pagi. 

Ketika kami tiba di sana, kami dapati para pelajar Tingkatan 4 bagi Slot 1 telah berkumpul di dalam dewan terbuka sekolah. Kami amat bersyukur kerana kami tidak memerlukan masa yang panjang untuk membuat persiapan tempat kerana guru-guru yang bertugas telah menyediakan peralatan aktiviti dan 'PA sistem'. Sejurus tiba, kami terus melakukan tugas masing-masing dan menyediakan tempat untuk 4 permainan yang telah kami sediakan kepada para pelajar. 4 stesen telah disediakan oleh para fasilitator dimana stesen pertama untuk permainan 'Yes or No', stesen 2 untuk permainan 'Das tembakan', stesen 3 untuk permainan 'Bola matlamat' dan stesen 4 'Hole trap'.

Setelah persiapan stesen selesai, jam menunjukkan tepat pukul 8.30 pagi dan kami pun memulakan aktiviti LDK dengan pembahagian kumpulan. Tiga buah kelas iaitu kelas 4B, 4C dan 4D telah menyertai Slot 1 ini. Jumlah keseluruhan bagi ketiga-tiga buah kelas ini kurang lebih 80 orang pelajar. Maka, kami membahagikan para pelajar ini kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada 20 orang pelajar. Selesai pembahagian kumpulan seorang fasilitator memberi arahan aktiviti di mana permainan pada keempat-empat stesen akan bermula serentak dan setiap stesen diperuntukkan masa selama 10 minit. Setelah tamat 10 minit, setiap kumpulan perlu bergerak ke stesen seterusnya. Kumpulan 1 perlu bergerak ke stesen 2, kumpulan 2 perlu bergerak ke stesen 3 dan begitulah seterusnya. Permainan bermula pada jam 8.40 pagi. Para fasilitator mula memberi arahan permainan kepada pelajar. Kelihatan keterujaan pada wajah para pelajar menglibatkan diri dalam LDK ini. Mereka kelihatan gembira dengan permainan yang di atur oleh pelajar Universiti Malaya, UM. 

10 minit telah berlalu dan para pelajar di arah untuk bergerak ke stesen seterusnya. Suasana agak kecoh kerana pelajar enggan bergerak mungkin kerana belum puas bermain sebagaimana yang dimaklumkan oleh fasilitator bahawa mereka tidak sempat bermain lama kerana banyak masa diambil untuk menerangkan cara bermain kepada pelajar. 10 minit tidak mencukupi terutama bagi permainan 'Das tembakan' kerana permainan itu mungkin agak baru kepada pelajar sekolah ini. Namun aktiviti tetap diteruskan sehingga setiap kumpulan selesai menyertai keempat-empat stesen. Sementara itu, 2 orang fasilitator ditugaskan untuk memilih kumpulan terbaik bagi permainan 'Yes or No' dan 'Das tembakan'. Kemudian aktiviti disambung dengan sesi refleksi dalam kumpulan. Oleh itu, para pelajar telah diminta untuk bergerak ke stesen pertama mereka dan bertukar pendapat serta memberi pengajaran yang telah mereka perolehi daripada aktiviti ini. Slot 1 tamat tepat jam 9.30 pagi.

Program diteruskan dengan majlis penyerahan sijil penyertaan para pelajar. Pelajar Slot 1 di minta menyertai majlis tersebut bagi memeriahkan lagi majlis. Majlis dipengerusikan oleh saudari Nur Farah Haini dan dimulakan dengan nyanyian lagu 'Negaraku'. Dr. Rozainah bt Mohamad Zakaria telah hadir untuk memberi ucapan penghargaan kepada pihak sekolah. Setelah berakhirnya ucapan daripada Dr Rozainah majlis telah menjemput tuan pengetua SMK Syed Mashor, Puan Hajah Sarina bt Shaari. Kedua-dua ucapan tersebut menyentuh tentang persediaan para pelajar untuk menghadapi masa depan lebih-lebih lagi di peringkat universiti. Setelah itu, pengerusi majlis telah menjemput Dr. Rozainah di iringi saudari Jia Xin untuk menyerahkan sijil penyertaan pelajar seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada tuan pengetua. Tidak terlupa juga, pihak majlis turut menyediakan sijil kepada Dr. Rozainah di atas kesudian beliau menghadiri program pada hari tersebut. Beliau telah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh pengerusi program Jalinan Masyarakat, Sains Pengurusan Alam Sekitar, 2018. Majlis di teruskan dengan acara yang dinantikan oleh para pelajar iaitu acara penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik. Sekali lagi, Dr. Rozainah di jemput untuk menyampaikan hadiah kepada Kumpulan 1 yang telah memenangi kedua-dua permainan itu.

Oleh kerana majlis ini memakan masa yang agak lama dan hanya berbaki 25 minit sebelum waktu rehat, kami para fasilitator mengambil keputusan untuk mengadakan satu sesi sembang santai bersama pelajar Slot 1. Saudari Anis Farhana telah mengendalikan sesi ini dengan membuat sedikit perkongsian dan sesi soal jawab bersama para pelajar. Wakil pelajar juga telah diminta untuk memberi kesimpulan mengenai aktiviti yang telah mereka sertai. Syukur kerana mereka telah dapat mengambil pengajaran melalui LDK ini. Pada jam 9.25 pagi, pelajar-pelajar ini dilepaskan untuk ke kantin. Kami juga tidak terkecuali menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

Pada jam 11.00 pagi, Slot 2 sepatutnya bermula. Tetapi kerana kelewatan pelajar kami terpaksa menunggu mereka dan aktiviti telah bermula pada jam 11.20 pagi. Slot 2 ini melibatkan jumlah pelajar yang 2 kali ganda lebih ramai daripada Slot 1 kerana kami terpaksa menggabungkan pelajar Slot 2 dan 3 bersama disebabkan masa yang tidak cukup di tambah pula dengan masalah pengangkutan pelajar sekiranya aktiviti tamat lewat. Pelajar masih lagi dibahagikan kepada 4 kumpulan dan syukur kerana perjalanan aktiviti pada slot 2 ini berjalan lebih lancar. Pelajar dalam slot 2 ini juga melibatkan diri secara aktif dan lebih cerdas. Pelajar selesai menyertai permainan pada setiap stesen tepat jam 12.10 tengah hari.

Bagi sesi refleksi untuk slot 2 agak berlainan di mana seorang fasilitator iaitu pengerusi Jalinan Masyarakat sendiri yang menyimpulkan keseluruhan objektif aktiviti yang telah dijalankan. Kemudian, kami menamatkan aktiviti di sekolah dengan acara penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik. Oleh kerana fasilitator berpuas hati dengan penglibatan pelajar dalam slot 2 ini maka kami membuat keputusan untuk memilih semua kumpulan sebagai pemenang. Sebelum pelajar bersurai, kami sempat bergambar bersama-sama sebagai tanda kenangan.


Abang Kah Fai gembira untuk beraksi bersama pelajar

Guru-guru SMK Syed Mashor turut serta memantau para pelajar semasa aktiviti dijalankan

Para pelajar fokus mendengar arahan yang diberikan oleh fasilitator

Pelajar menyertai permainan 'Bola matlamat' di stesen 3

Soraya memberikan taklimat tentang aktiviti LDK

Para pelajar teruja bermain permainan 'Hole trap'

Dr. Rozainah memberikan ucapan penghargaan kepada pihak sekolah

Tuan pengetua, Puan Hajah Sarina memberi ucapan kepada para hadirin semasa majlis penyerahan sijil

Dr. Rozainah menyampaikan hadiah kepada wakil kumpulan 1
Dr. Rozainah menyerahkan sijil penyertaan pelajar kepada Tuan pengetua

Wakil kumpulan 1 yang merupakan kumpulan terbaik menerima hadiah daripada Dr. Rozainah

Dr. Rozainah menyampaikan sijil penghargaan kepada tuan pengetua

Saudari Jia Xin menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr. Rozainah

Para pelajar Slot 1 bergambar bersama para fasilitator

Anis mengendalikan sesi perkongsian santai bersama para pelajar dan fasilitator

Para pelajar gembira mendengar perkongsian daripada fasilitator
Pelajar fokus bermain permainan 'Das tembakan'

Pelajar bekerjasama bermain permainan 'Hole trap'

Jia Xin memberi kesimpulan program kepada pelajar selepas tamat permainan di Slot 2

Pelajar memberi perhatian semasa mendengar nasihat daripada fasilitator

Wakil daripada kumpulan 2 menerima hadiah daripada pengerusi Jalinan Masyarakat

Pelajar tersenyum menerima hadiah setelah berjaya menjadi kumpulan terbaik

Pelajar Slot 2 bergambar kenangan bersama fasilitator sebelum bersurai

Jia Xin menyampaikan hadiah kepada seorang wakil kumpulan 4

Wakil kumpulan 3 menerima hadiah setelah berjaya menjadi kumpulan terbaik bagi permainan 'Das tembakan

'

Pelajar bermain permainan 'Das tembakan'


Pelajar bermain permainan 'Bola matlamat'


Anis Farhana memberi sedikit perkongsian kepada para pelajar


Robberta memberi soalan kepada pelajar ketika mengendalikan permainan 'Yes or No'


Zakaria gembira bermain permainan 'Hole trap' bersama pelajar


Wakil pelajar memberi semangat kepada rakan-rakan yang lain setelah membuat kesimpulan aktiviti


Pelajar dan fasilitator bersama-sama melaungkan 'UM is One'



Refleksi

Aqilah
Alhamdulillah di beri peluang untuk menyusun perjalanan aktiviti ini. Ini merupakan amanah yang agak mencabar kerana ia merupakan kali pertama buat saya. Sememangnya pengalaman ini memberi saya banyak pengajaran dan menambah baik kemahiran saya. Tetapi saya masih merasa agak ralat kerana tidak dapat menyampaikan isi penting semasa sesi refleksi. Oleh kerana saya yang mencadangkan permainan-permainan tersebut, maka banyak yang ingin saya simpulkan sebagai nasihat kepada para pelajar. Namun, saya masih gembira kerana mendapat komen positif daripada salah seorang pelajar yang terlibat.

Li Hui
Bagi aktiviti LDK, bukan sahaja murid-murid yang dapat mempelajari, malah saya juga pelajari banyak daripada aktiviti ini. Kita perlulah mempunyai matlamat dan perlu fokus pada matlamat kita atau usaha kita akan sia-sia. Saya juga menjadi lebih berani untuk berucap di hadapan para pelajar apabila perlu memberi arahan kepada mereka. Aktiviti ini meningkatkan tahap keyakinan diri ketika saya bertugas sebagai fasilitator. Saya juga kongsikan pengalaman saya semasa memilih universiti sebagai panduan untuk pelajar-pelajar tersebut. Saya berharap itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam membuat pemilihan universiti.

Peter
Saya berasa LDK yang diadakan amat menyeronokkan dan dapat mengajar sesuatu kepada pelajar. Saya berasa amat gembira apabila melihat kerjasama antara pelajar dalam permainan yang dijalankan. Pelajar juga diberi peluang untuk berfirkir secara kritis apabila ditanya tentang apa yang mereka dapat daripada aktiviti tersebut. Ini dapat membantu pelajar untuk mempunyai pemikiran kritikal dan dapat berfikir dengan lebih pantas.

Meerashini
Pada pandanga saya aktiviti LDK bersama pelajar sekolah adalah antara aktiviti yang bersemangat dalam program Jalinan Masyarakat ini. Melalui aktiviti ini saya dapat berkomunikasi dengan baik bersama pelajar dan juga dapat meluangkan masa dengan aktiviti permainan yang agak seronok seperti das tembakan. Oleh itu, saya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim bersama pelajar-pelajar di sana.

Chai Li
LDk berjalan dengan amat lancar sekali. walaupun sesi pertama kami kesuntukan waktu, setelah mempelajari dari kesilapan di slot 1, kami dapat menjayakan slot 2 dengan berjaya sekali. Keseronokan yang ditunjukkan oleh para pelajar merupakan satu ganjaran kepada kami. Kita berjaya menerapkan elemen kerjasama, kepantasan minda di samping mendedahkan kepada pelajar tentang kepentingan hala tuju mereka. Apa yang dipelajari ialah kita tidak seharusnya bergantung 100% kepada apa yang dirancang tetapi lebih kepada bersedia dengan apa-apa cabaran yang mungkin datang.

Rahina
Daripada aktiviti LDK di sekolah, plajar SMK Syed Mashor ini bersemangat untuk menyertai kesemua 5 LDK dan mereka cuba untuk bermain bersungguh-sungguh kerana masa yang suntuk. Fasi iaitu pelajar SPAS juga sangat gembira untuk menjalankan aktiviti ini bersama pelajar sekolah tersebut walaupun pada hari pertama. Pelajar sekolah itu dapat memahami pengajaran yang ingin disampaikan dari setiap LDK itu dan mereka sangat untuk menjawab soalan yang diajukan oleh para fasilitator.

Zahira
Pada pendapat saya, aktiviti LDK yang dijalankan bersama para pelajar sangat bagus kerana ini akan merapatkan lagi hubungan antara mahasiswa dan mahasiswi dengan pelajar sekolah. Program ini secara tidak langsung dapat menambahkan lagi input kepada pelajar sekolah berkenaan kehidupan sebenar di universiti dan hala tuju mereka selepas SPM. Pelajar UM dapat berkongsi serba sedikit pengalaman yang mereka lalui sebelum menjejakkan kaki ke alam universiti.

Robberta
Refleksi yang saya dapat ialah kita seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada para pelajar agar mereka dapat mencontohi kita. Kita juga sewajarnya bekerja dalam kumpulan bagi memastikan pelajar lain mengikuti kita dan dapat melaksanakan tugasan dengan baik. Oleh itu,kedua-dua pihak akan mendapat kelebihan dan perjalanan aktiviti akan menjadi lebih lancar.

Norziha
Saya cukup berpuas hati dengan aktiviti LDK yang dijalankan di SMK Syed Mashor ini. Saya sudah lama menantikan peluang ini untuk melakukan aktiviti bersama pelajar sekolah. Lebih menggembirakan lagi kedatangan kami disambut baik ditambah pula kerjasama yang amat baik telah diberikan oleh pelajar. Banyak perkara yang saya telah perolehi melalui sesi refleksi bersama para pelajar.

Nabilah
Pengajaran yang saya dapati daripada sesi di SMK Syed Masyor adalah saya memperbaiki cara saya bercakap di khalayak ramai dan mempertingkatkan keyakinan diri saya dengan cuba bercakap secara spontan depan semua pelajar. Selain itu, saya juga berasa seronok dapat berhubung dengan mereka kerana mereka aktif dalam semua aktiviti dan memberi respon yang positif. Akhirnya, aktiviti ini banyak memberi faedah kepada kami pelajar um untuk mempertingkatkan skill komunikasi kami serta faedah kepada pihak sekolah kerana membantu pelajar untuk mempertingkatkan skill belajar dan kerjasama mereka dalam pelajaran.

Farah
Saya berasa sangat gembira dapat bersama-sama dengan para pelajar tingkatan 4 Syed Mahsyor kerana mereka terhibur dengan aktiviti-aktiviti LDK yang dianjurkan.

Hafiza
Saya berasa amat teruja kerana dapat menjadikan diri saya sebagai seorang fasilitator untuk memberi arahan kepada para pelajar.Aktiviti LDK ini juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri saya untuk bercakap di khalayak ramai.

Edwina
Saya amat gembira kerana dapat berinteraksi dengan pelajar-pelajar sekolah ini. Saya sangat terharu apabila melihat mereka memandang kita sebagai seorang yang boleh dicontohi.

Jia Xin
LDK ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar Tingkatan 4 untuk berusaha mencapai cita-cita mereka. Kami telah menyerapkan pengajaran seperti fokus, kepantasan berfikir, bekerjasama dan berhala tuju melalui aktiviti yang dijalankan. Saya berharap para pelajar dapat tumpu berfikir masa depan mereka dan membuat keputusan yang betul. Saya memerhati sepanjang aktiviti dilaksanakan dan mendapati sesetengah pelajar yang aktif melibatkan diri tetapi ada juga yang bersikap pasif. Usaha mahasiswa UM masih tidak cukup untuk memeriahkan lagi suasana.

Umi Kalsum
Saya berasa sangat  seronok bermain slot  permainan  das tembakan dengan pelajar sekolah SMK Syed Mashor yang 'supporting' dan memberi kerjasama yg baik dan memuaskan.

Dalila
Saya gembira dapat bermain bersama-sama dengan pelajar-pelajar sekolah ini dan mereka juga memberikan reaksi yang sangat baik kepada aktiviti LDK ini.

Soraya
Saya berasa gembira kerana kami dapat memberi pendedahan kepada adik-adik tingkatan 4 tentang kerjasama, fokus dan cara menempuhi cabaran. Selain itu, rakan-rakan juga memberi komitmen yang baik supaya program dapat berjalan dengan lancar, namun, kerana masa yang tidak mencukupi, para fasilitator tidak dapat memberikan kefahaman yang penuh kepada setiap pelajar. Diharapkan pada masa akan datang, aktiviti seperti ini diberikan masa yang lebih panjang supaya lebih efektif kesannya.

Lynda
Saya berasa gembira kerana dapat bermain permainan yang menarik dan mempunyai makna tersirat bersama pelajar SMK Syed Mashor. Kami bukan sahaja bermain , tetapi juga ada perkongsian maklumat tentang hala tuju yang mereka ingin mengetahui .

Nuurdina
Saya bersyukur pelajar-pelajar dapat memberi kerjasama yang baik dan dapat mempelajari sesuatu daripada program yang kami jalankan.

Ann Huey
Latihan dalam Kumpulan yang dijalankan di SMK Syed Mahsor merupakan kali pertama saya menjadi fasilitator. Saya berasa sangat gembira kerana pelajar-pelajar kelihatan gembira ketika bermain atau menyertai aktiviti yang dijalankan seperti das tembakan, 'yes or no', 'hole trap' dan sebagainya. Saya terlibat dalam aktiviti 'hole trap' dan berpendapat bahawa aktiviti tersebut dapat membantu memupuk sikap kecekalan dan kesabaran pelajar-pelajar. Selain itu, hubungan silaturahim antara pelajar-pelajar dapat dieratkan di samping memupuk semangat bekerjasama. Hal ini disebabkan oleh aktiviti itu memerlukan kerjasama antara ahli kumpulan supaya bola tidak terjatuh ke lubang, tetapi masuk ke dalam gol. Diharapkan para pelajar dapat dimotivasikan dan berjaya dalam kehidupan.

Sim Leng
Saya rasa seronok berinteraksi dan bergaul dengan pelajar tingkatan 4, semua orang memberi kerjasama membolehkan LDK berjalan dengan lancar walaupun ada sesetengah pelajar yang tidak menunjukkan minat aktiviti kita yang dijalankan. Saya menghargai pelajar yang memberi respon dan mengalukan kehadiran kami.

Phooi Ni
Saya berasa sangat gembira kerana dapat berkomunikasi dan menjalan aktiviti dengan pelajar di SMK Syed Mashor. Kami bermain dan berbual-bual bersama-sama. Permainan yang dijalankan juga membawa erti yang penting dan pengajaran yang berguna kepada pelajar-pelajar.

Afif
Saya berasa sangat gembira di samping dapat membantu diri saya untuk keluar dari 'comfort zone' saya sendiri iaitu seorang yang pemalu dan kurang keyakinan. Aktiviti ini membantu saya dengan lebih berinteraksi terhadap generasi yang lebih muda dan yang lebih penuh cabaran.

Zakaria
Aktiviti di sekolah merupakan satu permulaan atau pembuka tirai yang baik dan menyeronokkan bagi program Jalinan Masyarakat. Seronok dapat bersama para pelajar dan berbual dengan pelajar yang penuh dengan sifat ingin tahu mereka. Kami mendapat peluang menceritakan mengenai kehidupan sebenar universiti sambil bermain permainan. Aktiviti ini sememangnya seronok dan menarik.

Intan
Untuk aktiviti ini, saya sangat gembira dapat berkomunikasi dengan pelajar sekolah ini. Mereka sangat aktif dalam menyertai aktiviti yang kami anjurkan. Sebagai ketua permainan 'yes or no' saya sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh ahli kumpulan saya. Saya juga ingin berterima kasih kepada ketua aktiviti kerana berjaya menjadikan aktiviti ini salah satu aktiviti yang amat berguna untuk kami semua.

Jemima
Pada pandangan saya, aktiviti di sekolah telah mengajar saya berkomunikasi dengan budak sekolah. Saya juga dapat membina keyakinan diri saya apabila saya bercakap di hadapan banyak orang.

Umi Naziera
Kami telah pergi ke SMK Syed Mashor bagi menjalankan aktiviti bersama pelajar di sana. Saya merupakan fasi yang bertugas untuk menguruskan permainan 'Yes or No' melalui permainan ini saya belajar untuk menguruskan pelajar jika mereka dalam keadaan tidak bersedia untuk melakukan aktiviti ini. Fasi juga perlu sentiasa aktif bagi menaikkan semangat mereka. Saya berasa amat gembira kerana telah menjadi fasi yang boleh membantu pelajar sekolah.

Kah Fai
Saya berasa bimbang kerana ini merupakan aktiviti pertama buat program jalinan masyarakat ini. Saya tidak tahu apa reaksinya nanti semasa bergaul dengan pelajar sekolah. Saya berasa amatlah bersyukur kerana dapatlah akhirnya bergaul mesra dengan pelajar sekolah itu. Mereka telah memberi kerjasama yang secukupnya walaupun terdapat beberapa masalah teknikal sepanjang aktiviti dijalankan. Saya amatlah berharap agar mereka dapat memperoleh ilmu yang baru melalui aktiviti ini dan bermulalah membuat perancangan diri pada masa depan bagi peringkat universiti selepas tamatnya spm. Saya ingin memohon maaf kepada rakan seperjuangan saya atas segala kesilapan yang telah saya lakukan sepanjang aktiviti ini.

Anis Farhana
Pada pendapat saya , aktiviti LDK ini telah membantu saya dan rakan-rakan dalam memupuk sifat kepimpinan dalam diri kami selain kesempatan untuk beramah mesra bersama adik-adik di SMK Syed Mashor tersebut . Menerusi permainan tersebut , kami dapat berkongsi sedikit sebanyak nasihat hidup dan ada juga sesi perkongsian supaya kami dapat menceritakan pengalaman kami untuk bergelar mahasiswa Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment