Saturday, 14 April 2018

Malam Kebudayaan Bersama Komuniti Kampung Sentosa

Hari Kedua
Sabtu, (31 Mac 2018)
9:00 malam hingga 10:00 malam
Perkarangan Dewan Balai Raya


Objektif mengadakan malam kebudayaan bersama komuniti Kampung Sentosa untuk mengeratkan hubungan diantara mahasiswa-mahasiswi SPAS UM  dengan keluarga angkat serta penduduk kampung. Selain itu, dengan mengadakan aktiviti malam kebudayaan ini dapat memeriahkan suasana pada malam itu. Di samping itu, penduduk kampung dan juga pelajar UM dapat menunjukkan bakat yang mereka miliki di khalayak ramai adalah salah satu objektif kami. Tambahan lagi, bagi mereka yang melibatkan diri dalam persembahan dapat meningkat keyakinan diri dalam diri masing-masing pada masa hadapan apabila mereka berdepan dengan orang ramai.

Pada hari kedua aktiviti ini sepatutnya bermula pada pukul 9:00 malam tetapi majlis dimulakan agak lewat iaitu pada pukul 9:30 malam kerana kami perlu menunggu kesemua ahli kumpulan marhaban Kampung Sentosa tiba di perkarangan balai raya. Hal ini kerana, kumpulan marhaban Kampung Sentosa merupakan kumpulan pertama yang akan membuat persembahan pada malam itu.


Kumpulan marhaban Kampung Sentosa membuat persembahan dengan sangat semangat

Persembahan marhaban oleh penduduk Kampung Sentosa 


Selepas persembahan marhaban tamat, majlis di teruskan lagi dengan alunan ayat Al-quran oleh saudara Zakaria Kaal. Surah-surah yang dialunkan adalah surah Al-Fatihah dan Al-Ghashiyah. Persembahan ini tidak dirancang seperti di dalam tentatif kami tetapi disebabkan oleh permintaan penduduk kampung yang ingin mendengar kelunakkan suara saudara Zakaria Kaal kami menambah persembahan ini pada malam itu.


Zakaria mengalun ayat suci Al-quran iaitu surah Al-Fatihah dan Al-Ghashiyah 



Zakaria mengalunkan ayat suci Al-quran kerana permintaan penduduk kampung


Persembahan seterusnya adalah tarian tradisional. Mahasiswi SPAS yang terlibat untuk mempersembahkan tarian adalah Umi Naziera, Umi Kalsum, Noor Rahina, Robberta, Meerashini, Bee Lynda dan Sim Leng. Terdapat 3 tarian yang dipersembahkan menggunakan 3 lagu yang digabungkan menjadi satu lagu. Antara tarian yang dipersembahkan adalah tarian melayu, tarian cina dan tarian india. Penduduk kampung berasa sangat teruja dan gembira melihat kreativiti dan bakat mahasiswi pada malam itu. Penduduk kampung juga memberikan tepukan yang gemuruh apabila  persembahan tarian tamat.

Persembahan tarian tradisional melayu oleh pelajar SPAS



Tarian tradisional melayu yang dipersembahkan oleh Umi naziera, Umi kalsum dan Rahina

Persembahan tarian tradisional cina oleh pelajar SPAS



Sim Leng dan Lynda menari tarian tradisional cina


Tarian tradisional india yang sangat lincah dan bersemangat ditarikan oleh Robberta dan Meera



Persembahan tarian tradisional india pada malam kebudayaan 



Seterusnya, persembahan nyanyian yang dinyanyikan oleh Muhamad Afif, Anis Farhana, Edwina Joyce dan Jamima. Mereka berkolaberasi menyanyi lagu Kau Ilhamku. Semasa mereka menyanyikan lagu ini mahasiswa dan mahasiswi SPAS juga turut menyanyi bersama sebagai tanda terima kasih kepada penduduk kampung yang hadir sepanjang program jalinan masyarakat diadakan. 

Persembahan nyanyian yang di nyanyikan oleh Anis, Edwina, Afif dan Jamima

Penduduk Kampung Sentosa memberi sepenuh perhatian pada persembahan nyanyian malam kebudayaan

Mahasiswi SPAS turut menyanyi bersama bagi meriahkan suasana malam itu

Sim Leng dan Ziha begitu gembira serta aktif pada malam kebudayaan itu

Kah Fai, Peter, Meeradan Robberta turut menyanyi bersama bagi memeriahkan suasana pada malam itu

Afif, Anis, Jamima dan Edwina membuat persembahan nyanyian


Pelajar SPAS turut menyanyi bersama menyanyikan lagu Kau Ilhamku


Sebaik sahaja persembahan nyanyian tamat, kesemua mahasiswa mahasiswi SPAS bergerak ke depan untuk mempersembahkan tarian  lagu Tujuan, Realiti Insan dan Cikitum. Penduduk kampung turut menari bersama-sama kami dengan riang dan gembira. Selepas kesemua lagu telah dipersembahkan anak-anak muda Kampung Sentosa membuat satu permintaan untuk menari lagu Panama kerana mereka ingin menunjukkan bakat tarian mereka. Sebaik sahaja selesai menari kesemua lagu itu kami mengadakan sesi bergambar dengan penduduk Kampung Sentosa dan penduduk kampung dijemput menjamu selera.

Penduduk kampung turut bersama-sama menari lagu ABC thailand

Anak-anak muda Kampung Sentosa turut serta menunjukkan bakat mereka menari tarian Panama dance


Anak-anak muda Kampung Sentosa menari lagu Panama

Pelajar SPAS menhidang makanan kepada penduduk kampung


Malam kebudayaan berakhir pada jam 11:30 malam. Mengikut tentatif, majlis ini sepatutnya selesai pada jam 10:00 malam, tetapi atas permintaan penduduk kampung sendiri, acara pada malam itu amat menarik sehingga penduduk kampung tidak sedar akan masa yang sudah menginjak jam 11:30 malam.



Refleksi



Sim Leng

Saya berasa gembira kerana berpeluang mempersembahkan tarian tradisional cina untuk penduduk Kampung Sentosa. Saya melibatkan diri dalam aktiviti ini kerana dapat menambahkan keyakinan saya untuk berdepan dengan orang ramai. Melalui penglibatan ini, saya juga dapat menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan kawan-kawan saya.

Anis
Pada pendapat saya, malam kebudayaan ini merupakan pengalaman yang paling menyeronokkan sepanjang program jalinan masyarakat. Pada malam itu kami bukan sahaja dapat mempersembahkan tarian dan nyanyian yang kami sediakan untuk penduduk Kampung Sentosa tetapi dapat merapatkan silaturahim antara kami pelajar SPAS dan dengan penduduk kampung.

Nabilah
Malam kebudayaan adalah malam yang paling meriah di Kampung Sentosa. Penduduk kampung sangat menghargai budaya-budaya di Malaysia. Mereka juga turut membuat persembahan marhaban di mana menjadi satu budaya di kampung itu untuk dipersembahkan pada hari perkahwinan dan majlis keraian yang lain. Kami juga berseronok dan menari bersama kanak-kanak serta orang kampung.

Aqilah
Bagi majlis malam kebudayaan saya berasa gembira kerana dapat melihat penduduk kampung gembira. Saya sangat teruja dengan persembahan marhaban oleh penduduk kampung kerana ia mengingatkan saya zaman kanak-kanak di mana selawat akan di dendangkan sepanjang bulan kelahiran nabi s.a.w. Saya juga reonok kerana dapat menjadi pengerusi majlis dalam majlis yang santai kerana dapat melatih saya berhadapan atau berkomunikasi dengan orang ramai.

Robberta
Refleksi yang saya dapat ialah kita haruslah berkerjasama dalam menjayakan sesuatu program yang dirancang. Selain itu, kita harus bijak menjalankan program agar dapat menyeronokkan dan memeriahkan situasi program.

Afif
Saya berasa sangat gembira untuk aktiviti ini kerana saya dapat lebih mengenali budaya dan kaum rakan-rakan saya iaitu cina dan india serta memberi pendedahan kepada masyarakat di Kampung Sentosa tentang keunikan negara kita. Di samping itu, aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat dalam kita bersama-sama bersuka ria pada malam itu.

Edwina
Saya berasa amat gembira melihat senyuman penduduk kampung yang hadir pada malam itu semasa melihat persembahan kami. Saya juga berasa bangga terhadap rakan-rakan saya kerana dapat menjayakan malam kebudayaan ini dalam masa yang singkat.

Dalila
Pada malam kebudayaan saya berasa sangat seronok melihat persembahan yang dipersembahkan oleh rakan-rakan saya. Mereka kelihatan sangat berbakat dan hebat. Saya juga gembira melihat penduduk Kampung Sentosa seronok apabila melihat persembahan yang dilakukan oleh rakan-rakan saya. Anak-anak muda Kapung Sentosa sangat menyokong serta gembira apabila semua mahasiswa dan mahasiswi SPAS menari. Selain itu, mereka juga menawarkan diri untuk mempersembahkan panama dance. Malam kebudayaan merupakan satu aktiviti yang sangat menarik bagi saya

Kah Fai
Saya berasa sangat bersyukur kerana malam kebudayaan ini dapat berjalan dengan lancar. Tahniah kepada semua rakan seperjuangan saya yang telah membuat persembahan tarian tradisional dan nyanyian kerana semua persembahan adalah terbaik. Saya berasa amatlah gembira kerana dapat melihat ibu angkat saya turut serta membuat persembahan marhaban bagi wakil orang kampung pada malam itu. Selain itu, saya amatlah bersyukur kerana dapat merasai bahawa orang kampung yang hadir pada malam itu menyukai semua persembahan yang ada. Tahniah juga kepada rakan-rakan seperjuangan kerana berjaya belajar dan mempersembahkan tarian baru dalam masa yang singkat.

Hafiza
Aktiviti malam kebudayaan adalah aktiviti yang amat dinantikan oleh saya dan juga ahli SPAS. Saya amat gembira kerana dapat mempersembahkan persembahan kepada penduduk kampung dan membuat mereka rasa gembira. Saya juga berasa terharu dengan sorakan dan tepukan yang diberikan oleh penduduk kampung terhadap persembahan kami. Tambahan pula, saya sangatlah gembira terutama sekali apabila penduduk kampung turut serta dengan kami untuk persembahan tarian.

Pooini
Saya berasa gembira dapat membuat persembahan walaupun saya tidak begitu mahir dan berani. Malam tersebut tidak dapat saya lupakan, kerana semua orang begitu mesra berbual serta dapat merapatkan kami dengan orang kampung dan sesama ahli SPAS.

Ann
Saya berasa amat gembira kerana kami semua telah terlibat dalam tarian bersama-sama. Hal ini dapat membantu mengeratkan hubungan antara kami kerana kami bersatu hati berlatih bersama-sama. Selain itu, saya berasa amat gembira kerana berpeluang menyaksi persembahan marhaban yang diadakan oleh para penduduk kampung termasuklah ibu angkat saya. Bukan itu sahaja, kami juga berpeluang menari bersama-sama dengan penduduk kampung. Hal ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami. Saya ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada rakan saya yang mengambil inisiatif untuk menari tarian tradisional Melayu, Cina dan India untuk memeriahkan majlis pada malam itu. Diharapkan semua penduduk menikmati persembahan kami.

Umi Naziera
Pada aktiviti malam kebudayaan terdapat persembahan dari penduduk kampung iaitu marhaban, tarian tradisional bagi setiap kaum, nyanyian dan persembahan dari semua pelajar tahun satu jurusan Sains Pengurusan Alam Sekitar. Pada malam itu, saya merupakan penari bagi tarian tradisional melayu. Ini merupakan pengalaman pertama saya menari tarian tradisional dan kami telah banyak berlatih untuk memberikan yang terbaik buat semua. Malam kebudayaan ini telah menonjolkan bakat pelajar dan berjaya membuat semua penduduk kampung terhibur. Dengan melihat mereka terhibur, saya berasa amat berpuas hati.

Jia Xin
Malam kebudayaan ini boleh dikatakan berjaya kerana adanya persembahan yang menarik daripada mahasiswa dan mahasiswi SPAS dan penduduk kampung. Aktiviti ini mendapat sambutan yang hangat sehingga tempat duduk tidak mencukupi. Saya berasa gembira kerana para hadirin menikmati persembahan yang disediakan. Pertukaran lokasi persembahan secara tiba-tiba telah menyusahkan kumpulan tarian indian tetapi nasib baik mereka berjaya menghadapi cabaran. Saya ingin berterima kasih kepada mereka sanggup meluangkan masa berlatih bersungguh-sungguh untuk menjayakan Malam Kebudayaan.

Dina
Saya seronok mendengar marhaban daripada orang kampung dan melihat mereka gembira dengan persembahan daripada kami. Ini salah satu program yang merapatkan lagi ukhwah kami dengan orang kampung

Zahira
Aktiviti yang diadakan ini sangat menarik. Di sini kita dapat lihat, pelajar Spas tidak hanya aktif dalam belajar malah aktif juga dalam kesenian. Penonton tertarik dengan kombinasi tarian melayu cina dan india. Yg paling saya seronok apabila kita smua membawakan lagu tujuan dan realiti insan kpada pnduduk kampung. Pnduduk kampung suka dan terhibur dan ada yg menanyakan tajuk lagu yg kita nyanyikan (realiti insan)

Li Hui 
Dalam aktiviti malam kebudayaan, saya dapat pelajari banyak budaya dan tarian kaum lain. Saya telah saksikan banyak persembahan daripada kaum lain dan juga persembahan daripada penduduk kampung. Saya juga mempelajari untuk beranikan diri membuat persembahan depan orang ramai. Ini pengalaman yang bagus kerana sewaktu latihan menari, saya dapat lebih memahami rakan-rakan saya dan mengeratkan hubungan dengan mereka. Bila persembahan tamat, saya rasa berpuas hati sebab kami dah tunjukkan yang terbaik dan kesilapan yang timbul semasa latihan juga telah berkurang.

Peter
Saya berasa amat gembira dapat membuat pertunjukkan pada malam tersebut. Semua rakan kelas telah rajin berlatih untuk persembahan masing- masing. Semua persembahan adalah sangat bagus sama juga dengan persembahan dari ibu-ibu angkat. Malam ini memang dapat mengeratkan hubungan antara rakan sekelas dengan semua penduduk kampung.

Meerashini
Pada pandangan saya aktiviti malam kebudayaan bersama komuniti kampung sntosa adalah antara aktiviti yang bersemangat dalam program Jalinan masyarakat ini. Melalui aktiviti ini saya dapat berkomunikasi dengan baik bersama masyarakat kampung dan juga dapat meluangkan masa dalam aktiviti persembahan tarian tradisional yang agak seronok pada malam ini. Oleh itu, saya dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat kampung di sana semasa makan malam dan juga dapat melayan ibu angkat dengan baik.

Chai Li
Malam kebudayaan berjalan dengan amat lancar. Semua persembahan yang kami mempersembahkan dapat menceriakan warga-warga kampung pada malam tersebut. Selain membawa unsur-unsur satu Malaysia, dua lagu yang kami persembahkan “tujuan” dan “realiti insan” diharap dapat memberi unsur nilai kepada warga kampung agar terus mencuba dan mimpi bukanlah satu mimpi sahaja. Saya amat gembira dapat mempersembahkan kepada semua warga kampung dan berasa amat gembira pada malam kebudayaan tersebut.

Soraya
Malam kebudayaan merupakan satu program yang berjaya jalan lancar seperti yang dirancang oleh ketua aktiviti. Saya berasa sangat seronok dapat membuat persembahan bersama rakan-rakan untuk penduduk kampung sentosa. Semangat kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan amatlah baik dan ini dapat dilihat pada persembahan tersebut.

Intan
Antara aktiviti yang paling seronok dalam jalinan masyarakat ini adalah malam kebudayaan. Hal ini kerana, saya dapat melihat persembahan daripada rakan-rakan saya yang telah lama berlatih untuk mempersembahkannya pada malam ini. Kumpulan Marhaban Kg Sentosa juga tidak kurang hebatnya. Suara mereka membuatkan saya terpukau dengan alunan selawat yg disebut. Persembahan daripada kami iaitu lagu Tujuan dan Realiti Insan yg ditukar pada saat-saat akhir juga berjaya memukau penduduk kampung ini. Kerjasama yang padu dan gitu oleh semua mahasiswa dapat dilihat apabila aktiviti malam kebudayaan ini berakhir dengan senyuman yang tidak lekang daripada mulut semua orang. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua mahasiswa di atas kejayaan aktiviti ini.

Ziha
Saya berasa gembira dan cukup terhibur pada malam kebudayaan di kampong sentosa.ini kerana penduduk kampung begitu terbuka untuk melakukan persembahan untuk kami.saya juga cukup terharu kerana melihat penduduk kampung tersenyum dan gembira melihat persembahan dari kami pelajar SPAS yang tak seberapa ini.

Jamima
Pada pandangan saya, malam kebudayaan mempamerkan keunikan setiap kaum di Malaysia. Selain itu, malam kebudayaan juga telah mengeratkan hubungan pelajar spas dan penduduk kampung. Akhir sekali, semua aktiviti yang dijalankan semasa malam kebudayaan sangat best dan semua orang berasa gembira dan teruja semasa malam kebudayaan di lansungkan.

Zakaria
Malam kebudayaan sangat seronok dan menarik. Saya terhibur dengan semua tarian yang dipersembahkan dari pelbagai kaum. Saya sangat menyukai tarian Cina, India dan Melayu yang dipersembahkan pada malam itu. Ini dapat menunjukkan kepada saya bahawa rakyat Malaysia bersatu walaupun mereka berlainan bangsa dan agama.

Umi Kalsum
Saya sangat menyukai malam kebudayaan pada malam itu kerana penduduk kampung sentiasa tersenyum dan memberi sepenuh perhatian ketika kami membuat persembahan. Penduduk Kampung Sentosa juga turut serta menari bersama kami. Dari aspek itu, saya dapat melihat bahawa penduduk kampung juga memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan program jalinan masyarakat kami. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan saya yang membuat persembahan tarian tradisional kerana memberi komitmen yang baik dan tidak lupa rakan-rakan yang lain yang memberi sokongan kepada kami semasa persembahan tarian tradisional. Majlis malam kebudayaan berjalan dengan lancar hasil kerjasama semua mahasiswa-mahasiswi pada malam itu.

Farah
Saya berasa sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada ajk malam kebudayaan iaitu sebagai pengerusi majlis. Saya merasakan bahawa malam kebudayaan ini merupakan memori yang sangat bermakna bagi saya sehingga sekarang. Saya dapat memperbaiki kemahiran saya dalam mengendalikan majlis sebagai pengerusi majlis. Saya seronok dapat melihat persembahan yang dipersembahkan oleh rakan-rakan saya yang sangat hebat. Saya berharap agar kenangan ini tidak dilupakan oleh kami begitu sahaja dan warga kampung terhibur dengan persembahan kami.

Rahina
Daripada malam kebudayaan ini, apa yang saya dapat lihat ialah penduduk Kampung Sentosa sebenarnya sangat sporting dan seronok dengan kehadiran kami ke sana. Mereka siap membuat persembahan nyanyian lagu marhaban pada malam itu untuk kami semua. Selain itu, hubungan erat dia antara pelajar SPAS juga dapat dilihat dengan jelas kerana program ini berjalan dengan kerjasama semua orang. Ada pelajar SPAS yang menari, ada yang menyanyi dan ada yang melayani penduduk kampung. Masing-masing dapat menjalankan tugas mereka dengan lancar. Pada malam itu semua orang bergembira termasuklah diri saya sendiri.



Lynda

Saya berasa gembira kerana dapat membuat persembahan walaupun saya tidak begitu berani dan mahir. Pada malam itu persembahan yang saya lakukan ialah menari tarian tradisional cina. Malam tersebut tidak dapat saya lupakan , kerana semua orang begitu mesra bergaul dan gembira.













No comments:

Post a Comment