Saturday, 14 April 2018

Gotong-Royong Bersama Penduduk Kampung Sentosa

Hari Ketiga
Hari Ahad (1 April 2018)
8.00 pagi hingga 9.00 pagi
Balai raya Kampung Sentosa


Objektif aktiviti gotong royong ini dijalankan adalah untuk membersihkan kawasan di sekeliling balai raya Kampung Sentosa.Ianya sebagai tanda terima kasih kepada kesemua penduduk Kampung Sentosa kerana telah menerima kehadiran kami dan menjaga kami sepanjang keberadaan kami disana. Selain itu, ianya bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan pelajar-pelajar SPAS bersama penduduk Kampung Sentosa. Aktiviti gotong royong ini juga salah satu usaha dalam merapatkan lagi ukhuwah dan perhubungan di kalangan para pelajar SPAS itu sendiri dan juga hubungan para pelajar bersama penduduk kampung.Akhir sekali, ianya turut bertujuan dalam memupuk semangat kerjasama dan juga tolong menolong dalam diri para pelajar SPAS. Dengan adanya semangat kerjasama dan tolong-menolong, kami dapat menyiapkan dan membersihkan kawasan balai raya itu dalam masa yang singkat. Agar semangat kerjasama yang sedia ada ini masih dapat diaplikasikan semula di kemudian hari.



Aktiviti ini diadakan pada hari terakhir Program Jalinan Masyarakat. Ianya bermula agak lewat sedikit kerana memberi ruang kepada pihak bertugas  dalam menyediakan peralatan dan juga memberi masa kepada penduduk kampung untuk hadir bersama dalam menjayakan aktiviti ini. Sebelum aktiviti gotong-royong ini dimulakan salah seorang penduduk Kampung Sentosa iaitu Fateha memberi sedikit cenderahati kepada semua pelajar SPAS. Kami agak terperanjat pada mulanya kerana tidak menyangka bahawa beliau akan menghadiahkan cenderamata sebagai kenangan. Untuk makluman semua, beliau begitu gigih dalam menyediakan hadiah tersebut dimana beliau terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3.00 pagi untuk menyiapkan kesemuanya. Hadiah yang diberikan adalah berbentuk rama-rama yang diperbuat dari kertas warna. Hadiah tersebut mungkin kedengaran tidak seberapa namun bagi kami ianya cukup berharga jika dilihat akan usahanya.

Hadiah yang diberikan oleh Fateha.





Aktiviti gotong-royong ini bermula pada jam 8.30 pagi setelah para pelajar diagihkan didalam kumpulan masing-masing.Untuk makluman, para pelajar dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk membersihkan tempat yang telah ditetapkan.

Para pelajar dibahagikan kepada kumpulan A,B dan juga C dimana kumpulan A diketuai oleh Umi Naziera perlu membersihkan di sekeliling kawasan padang yang terletak berhadapan dengan balai raya. Manakala, kumpulan B pula diketuai oleh Edwina perlu membersihkan di sekeliling dan juga kawasan dalam balai raya. Kumpulan terakhir iaitu kumpulan C diketuai oleh Norziha dimana mereka perlu membersihkan di kawasan sekitar taman permainan yang terletak di belakang balai raya.

Antara peralatan yang diberikan kepada para pelajar dan juga orang kampung semasa menjalankan aktiviti gotong royong adalah pencakar, penyodok, penyapu lidi, plastik sampah, vacuum, kain lap dan sebagainya. Sebahagian peralatan dibawa oleh para pelajar SPAS sendiri dan sebahagian disediakan oleh penduduk kampung itu sendiri. Peralatan diagih mengikut kawasan yang hendak dibersihkan seperti pencakar diberi lebih kepada kumpulan C kerana kawasan yang lebih luas dan dipenuhi dengan daun kering, vacuum pula diberikan kepada kumpulan B untuk membersihkan kawasan di dalam dewan dan plastik sampah diberikan kepada ketiga-tiga kumpulan.

Kesemua ahli di dalam kumpulan A memungut kesemua sampah yang terdapat di kawasan padang. Terdapat sampah seperti botol-botol, plastik, kertas dan juga sampah lebihan dari aktiviti sukaneka yang berlangsung semalam. Antara gambar dan video Kumpulan A dalam membersihan kawasan padang.


Wong Kah Fai sedang mengutip sampah di kawasan padang.


                           Gambar 2: Aktiviti gotong-royong disaksikan oleh Ketua Kampung Sentosa
dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Sentosa

 Para Pelajar SPAS sedang bekerjasama membersihkan kawasan padang.






Bagi kumpulan B  mereka bukan sahaja membersihkan kawasan di luar balai raya seperti menyapu daun-daun kering yang gugur tetapi mereka juga membersihkan kawasan di dalam dewan. Mereka menbersihkan lantai di di dalam balai raya dengan mengunkan vacuum, mengelap kesemua tingkap di balai raya, menyapu habuk yang terdapat didinding balai raya dan sebagainya. Antara gambar dan video Kumpulan B dalam membersihkan kawasan balai raya

 Pelajar SPAS dan orang kampung bersatu dalam membersihkan kawasan balai raya.


 Penduduk Kampung Sentosa sedang mencakar daun kering di belakang balai raya.



 Lynda sedang menyapu habuk tingkap di luar balai raya.

Jia Xin dan Zakaria sedang membersihkan bahagian dalam kawasan balai raya.
 Pemuda kampung juga turut serta dalam aktiviti gotong-royong.







Akhir sekali, bagi kumpulan C, mereka berkumpul dalam membersihkan kawasan taman permainan yang dipenuhi dengan daun kering dan juga rumput yang agak panjang. Kami mengagihkan beberapa orang pelajar mengikut tugas agar pembersihan berjalan dalam masa yang singkat. Antara gambar dan video yang berjaya dirakam adalah

Kesemua daun kering di kumpul di dalam plastik untuk
dibuang bagi mengelakkan dari dibakar.

 Pelajar-pelajar SPAS bersatu dalam membersihkan kawasan taman permainan.

 Pelajar SPAS dan penduduk kampung sedang membersihkan daun kering.

 Penduduk kampung sedang membantu para pelajar dalam melakukan gotong-royong.

 Umi Kalsum gembira melakukan gotong-royong.

Afif sedang mengerah tenaga mencabut rumput di kawasan itu.

 Aqila sedang menyapu tanah yang melekat di pejalan kaki.

 Para pelajar begitu fokus dalam membersihkan kawasan taman permainan.

 Suraya begitu bersungguh dalam menyapu daun kering.

Dalila sedang mencakar daun kering yang masih berbaki.



 Phooni melonggokkan daun kering pada satu tempat.


Aktiviti gotong-royong ini selesai pada jam 9.30 pagi untuk memberi laluan kepada majlis penutupan. Kesemua peralatan yang dipinjam dari penduduk kampung dikumpul dan disimpan semula pada tempat asalnya. Pihak logistik menyediakan sedikit minuman iaitu teh O panas kepada para pelajar SPAS dan juga penduduk kampung yang terlibat.


Refleksi


Sim Leng
Saya berasa gembira kerana dapat menyumbangkan sedikit tenaga saya dalam membersihkan kawasan di sekitar balai raya dan juga taman permainan yang sudah lama diabaikan. Kami mecakar, menyapu dan juga mengutip sampah sarap dan juga daun-daun kering di kawasan tersebut. Saya juga berasa begitu gembira walaupun hanya sedikit perubahan sahaja yang dapat dilihat dari aktiviti permbersihan itu dalam waktu yang singkat.

Chai Li
Aktiviti gotong-royong dibahagikan kepada tiga kumpulan. Saya berada di kumpulan pertama dimana saya ditugaskan untuk membersihkan di kawasan padang. Terdapat pelbagai plastik, samapah sarap dan juga kotak yang terdapat di padang tersebut dan ada juga yang sudah bertakungan air. Untuk makluman, ini kali pertama saya terlibat dalam aktiviti gotong-royong di sebuah kampung. Namun, dengan kerjasama dari semua rakan saya, aktiviti ini tidaklah begitu memenatkan seperti yang dijangka. Sebaliknya, saya dan rakan-rakan yang lain berasa amat berpuas hati dengan usaha kami dalam membersihkan kawasan balairaya di kampung tersebut sehingga selesai.

Farah Haini
Saya berasa sangat gembira kerana dapat  melakukan aktiviti gotong-royong ini bersama-sama rakan-rakan dan juga penduduk kampung itu sendiri. Bagi saya, aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kami para pelajar Universiti Malaya dengan penduduk Kampung Sentosa. Saya berasa sangat terharu kerana warga kampung turut serta dalam membantu kami melakukan gotong-royong ini dan menjadikan aktiviti ini sangat bermakna kepada saya dan juga rakan-rakan.

Wong Kah Fai
Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana dapat berkhidmat untuk Kampung Sentosa ini setelah menetap di kampung itu selama tiga hari. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah berusaha bersama-sama dalam menjayakan aktiviti ini. Saya juga berasa begitu berpuas hati setelah membersihkan kawasan balai raya di Kampung Sentosa. Saya berharap agar kebersihan di Kampung Sentosa ini dapat terus dikekalkan. Hal ini kerana kebersihan mampu menjamin kesihatan dan keselamatan warga kampung terutamanya kanak-kanak di kampung tersebut yang begitu aktif bermain di kawasan tersebut.

Jemima
Pada pandangan saya, aktiviti gotong-royong ini telah menjadikan hubungan para pelajar SPAS bersama penduduk kampung lebih erat dan mesra. Selain itu, saya juga berasa gembira kerana dapat menolong penduduk kampung untuk membersihkan kawasan di sekitar balai raya itu.

Hafiza
Aktiviti gotong-royong ini dapat mengajar saya erti tolong-menolong dan juga semangat kerjasama diantara saya dan juga rakan-rakan yang lain. Dengan mengadakan aktiviti ini, kerja pembersihan menjadi lebih mudah dan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Penduduk kampung juga turut hadir untuk menyertai aktiviti ini dan membuat saya rasa begitu terharu dengan kerjasama yang ditonjolkan oleh mereka. Bagi saya, aktiviti ini juga dapat memupuk nilai -nilai murni dalam kehidupan seharian para pelajar dan juga penduduk kampung dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab.

Li Hui
Dalam aktiviti gotong-royong ini kawasan yang perlu kami bersihkan adalah agak besar. Namun, dengan usaha yang diberikan oleh penduduk kampung dan rakan-rakan saya, kami dapat menyelesaikan aktiviti ini dalam masa yang singkat. Dalam perkara ini, saya turut dapat pelajari dimana apabila satu masyarakat bersatu dalam menyelesaikan satu aktiviti dan perkara dengan mudah walaupun ianya adalah satu aktiviti atau perkara yang rumit.

Peter
Saya berasa gembira kerana dapat bekerja sebagai satu kumpulan bersama rakan-rakan dan juga penduduk kampung sepanjang aktiviti ini dijalankan. Saya dapat lihat dimana kami saling tolong menolong dan tiada yang mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri dalam menyiapkan tugas masing-masing walaupun kami berada di dalam kumpulan yang berbeza. Bagi saya, aktiviti ini juga mampu mengeratkan lagi hubungan antara para pelajar SPAS dan juga penduduk kampung di situ.

Dina
Gotong -royong bersama penduduk kampung sangatlah menyeronokkan bagi saya. Tambahan lagi, saya juga dapat meluangkan lebih banyak masa dalam mengenali warga kampung yang turut hadir dalam menjayakan aktiviti ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana pendudk kampung sanggup meluangkan masa di hujung minggu mereka semata-mata untuk turut serta dalam aktiviti yang kami jalankan di tempoh hari.

Meerashini
Melalui aktiviti gotong-royong, saya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara saya bersama rakan-rakan dan juga bersama warga komuniti kampung di situ. Dalam aktiviti ini, kami rakan sekelas berjaya membersihkan kawasan balairaya di kampung itu dengan sempurna. Selain itu, selepas aktiviti ini selesai saya juga berpeluang bermesra bersama kanak-kanak yang hadir pada masa itu dengan cara bermain dan menari bersama mereka.

Phooi Ni
Semasa aktiviti gotong-royong ini dijalankan saya berasa amat bersyukur dan terharu kerana kesemua rakan dan penduduk kampung yang hadir berkerjasama bersama-sama dalam membersihkan kawasan balai raya di kampung itu. Usaha dan kerjasama yang ditonjolkan oleh setiap individu membuatkan aktiviti ini dapat dijayakan dalam tempoh yang singkat. Saya juga berasa begitu puas hati setelah dapat melihat kawasan-kawasan yang dibersihkan menjadi lebih kemas dan bersih dari sebelumnya.

Intan
Melalui aktiviti ini, saya dapat melihat kesungguhan dan kerjasama semua rakan saya dalam membersihkan kawasan di sekitar balai raya di Kampung Sentosa. Walaupun aktiviti ini dijalankan pada hari ketiga yang merupakan hari terakhir kami di sana, rakan-rakan saya tetap memberikan yang terbaik dalam menjayakan aktiviti ini walaupun saya tahu mereka agak penat. Yang membuatkan saya lebih bangga, dimana rakan-rakan saya tidak sekalipun yang membuat muka cemberut. Semuanya kelihatan begitu gembira sekali kerana dapat membantu penduduk Kampung Sentosa. Saya juga turut berterima kasih kepda para rakan yang mengetuai aktiviti ini kerana telah berjaya melaksanakan tugas sebaik mungkin.Tahniah diucapkan kepada semua.

Rahina
Daripada aktiviti gotong-royong ini, kerjasama antara para pelajar SPAS dapat dilihat dengan jelasnya dalam membersihkan kawasan sekitar balai raya Kampung Sentosa. Untuk makluman kami telah diagihkan kepada tiga kumpulan dan masing-masing mempunyai tugas mereka yang tersendiri. Bagi saya kesemua berjaya melaksanakan tugas mereka sebaiknya. Selain itu, saya juga berasa amat terharu kerana terdapat beberapa orang penduduk kampung yang sudi hadir ke balai raya sejak awal pagi lagi untuk memeriahkan lagi aktiviti ini.

Ann Huey
Selepas menjalankan aktiviti gotong-royong ini bersama rakan-rakan sekelas saya di Kampung Sentosa, saya berasa amat gembira kerana kawasan sekitar balai raya termasuklah kawasan padang menjadi lebih bersih dari sebelumnya. Setelah bergotong-royong, saya berpendapat bahawa kebersihan di sekitar kampung atau perumahan perlu dijaga dengan baik.Hal ini disebabkan sampah sarap seperti tin kosong berpeluang tinggi untuk menjadi tempat takungan air setelah hujan. Kawasan yang memiliki air yang bertakung mudah menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes  dan akan membawa kepada kematian jika ianya dalam tahap yang sangat serius. Dengan erti kata lain, kawasan perumahan yang bersih dapat menjamin kesihatan penduduk. Oleh itu, aktiviti gotong-royong haruslah dilakukan dengan sekerap yang mungkin. Dengan bergotong-royong, bukan sahaja kebersihan dapat dipastikan bahkan hubungan silaturahim juga dapat terjalin lebih erat. Melalui aktiviti ini juga hubungan saya bersama rakan-rakan sekelas telah menjadi lebih rapat dan mesra disebabkan semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh mereka. Saya berharap kebersihan di Kampung Sentosa dapat dijaga dan diperlihara.

Umi Kalsum
Saya berasa begitu seronok kerana dapat bergotong raya bersama penduduk kampung dalam membersihkan kawasan di sekitar balai raya di Kampung Sentosa. Selain itu, dengan menjalankan aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan kerana dapat mengeluarkan peluh ketika melakukan aktiviti ini. Dari aktiviti ini juga saya berpeluang untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim antara saya bersama rakan-rakan dan juga bersama warga Kampung Sentosa. Saya juga berasa begitu puas hati apabila kawasan di kampung itu menjadi lebih bersih selepas dari aktiviti ini selesai.

Lynda
Saya berasa begitu gembira kerana dapat turut serta dalam menjayakan aktiviti gotong-royong ini bersama penduduk kampung di situ. Saya juga berasa begitu bersyukur kerana dapat membersihkan kawasan balai raya dimana kami telah menggunakan kawasan tersebut sepanjang tempoh tiga hari kami jalankan program di kampung itu.Saya juga berasa begitu bertuah kerana dengan adanya aktiviti ini hubungan saya bersama rakan-rakan sekelas menjadi lebih rapat dan hubungan saya bersama penduduk kampung menjadi lebih mesra walaupun hari itu merupakan hari terakhir kami di kampung itu. Saya berusaha mengelap tingkap dan menyapu dewan kerana kebersihan itu penting kepada semua orang dan saya sudah mencuba buat yang terbaik semampunya.

Jia Xin
Pada pendapat saya, kelemahan aktiviti ini yang dapat saya perhati ialah kekurangan persiapan dimana mahasiswa yang bertanggungjawab tidak menyediakan alat gotong-royong yang secukupnya. Namun, saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana dengan pertolongan Encik Ahmad segalanya dapat berjalan dengan lancar. Saya juga berasa amat bergembira kerana dapat melihat mahasiswa dan mahasiswi SPAS Universiti Malaya dan warga kampung bekerjasama dalam membersihkan di kawasan perkarangan balai raya dan juga padang. Kami juga dapat meninggalkan Kampung Sentosa tersebut dengan memori yang indah dan bukannya dengan sampah sarap.

Zahira
Aktiviti ini salah satu aktiviti yang sihat dimana ianya melibatkan para pelajar SPAS dan juga penduduk Kampung Sentosa untuk bersama-sama dan juga bekerjasama dalam membershkan kawasan di sekitar balai raya. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap individu menjadi aktiviti permbersihan ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Malah, dengan semangat tolong-menolong yang wujud juga membuatkan aktiviti ini berjalan dengan lancar tanpa adanya isu yang timbul.

Dalila
Saya dapat melihat semangat kerjasama antara penduduk di Kampung Sentosa bersama- sama dengan para pelajar SPAS dalam menjayakan aktiviti gotong-royong ini pada tempoh hari. Saya juga berasa begitu seronok kerana dapat menyumbang sedikit sumbangan dan tenaga kepada penduduk kampung di situ dalam membersihkan kawasan di sekitar balai raya kampung tersebut. Dengan aktiviti ini, kawasan di balai raya ini menjadi lebih bersih dan cantik. Hubungan yang erat juga terjalin antara kami para pelajar SPAS bersama penduduk kampung ketika aktiviti pembersihan dijalankan.

Afif
Gotong-royong merupakan salah satu aktiviti yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama masyarakat. Saya berasa gembira kerana dapat bersama masyarakat di Kampung Sentosa dalam menjalankan aktiviti ini di samping saya turut dapat mengenali dengan lebih dekat mengenai penduduk di kampung tersebut.

Roberta
Melalui aktiviti gotong-royong ini saya berpendapat bahawa semangat kesepaduan antara satu sama lain dapat dipupuk. Ini kerana sepanjang menjalankan aktiviti ini, kita dapat lihat semangat kerjasama dan tolong- menolong wujud anatara para pelajar SPAS dengan penduduk kampung di Kampung Sentosa yang menjadikan aktiviti ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Ini kerana kerana terdapat banyak tangan yang membantu dalam aktiviti ini yang turut meringankan beban setiap individu di situ. Dengan aktiviti ini juga, ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelajar SPAS sendiri dan juga tidak terkecuali hubungan erat bersama penduduk kampung juga dapat terjalin.

Nabila
Aktiviti gotong-royong ini meringankan beban penduduk-penduduk Kampung Sentosa kerana kami bekerjasama dalam membersihkan beberapa kawasan di kampung itu dan juga menyediakan varsiti yang selesa untuk mereka. Ianya sebagai tanda ucapan terima kasih daripada kami, pelajar-pelajar SPAS kerana telah sudi menerima kedatangan kami dan juga sudi hadirkan diri di sepanjang program ini dijalankan. Dengan kehadiran mereka itu menjadikan program ini lebih meriah dan bermakna. Seterusnya, saya juga dapat belajar semangat bekerjasama dengan rakan-rakan SPAS sendiri termasuk juga penduduk-penduduk kampung ketika menjalankan aktiviti ini.

Zakaria
Aktiviti gotong-royong ini mengajar saya mengenali erti tolong-menolong dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Ini kerana aktiviti ini boleh dikategorikan sebagai aktiviti yang agak berat untuk dilakukan oleh penduduk kampung yang berusia untuk membersihkan kawasan kampung yang agak besar. Jadi, kedatangan kami sedikit sebanyak dapat mengerah tenaga muda ini dalam meringankan beban mereka dengan cara membersihkan kawasan kampung itu bersama-sama dan sekaligus menceriakan kawasan tersebut. Ianya juga boleh dijadikan kenangan kepada kami ketika berada di kampung itu kerana aktiviti ini juga diturut serta oleh penduduk kampung itu sendiri.

Anis Farhana
Pada pendapat saya, aktiviti gotong-royong ini sangatlah bermanafaat kepada para pelajar SPAS dan juga penduduk Kampung Sentosa kerana dengan adanya aktiviti ini, kami dapat bersama-sama  membersihkan kawasan di sekitar balai raya di kampung tersebut. Oleh kerana, aktiviti ini diturut serta oleh penduduk kampung sendiri, ianya merupakan peluang keemasan kepada para pelajar SPAS untuk mengenali dengan lebih dekat dan juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sudahpun terjalin. Dengan aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat mencergaskan tubuh badan kami dengan mengeluarkan peluh.

Ziha
Bagi saya, aktiviti gotong-royong ini adalah satu idea yang bernas dimana ianya dapat mendatangkan pelbagai manfaat kepada para pelajar SPAS dan juga penduduk-penduduk Kampung Sentosa itu sendiri. Contohnya, dengan aktiviti ini, ianya dapat melahirkan semangat kerjasama antara semua dalam misi membersihkan kawasan di sekitar balai raya tersebut. Ianya menyedarkan saya bahawa dengan adanya kerjasama pekerjaan yang dilakukan dapat diselesaikan dalam jangka masa yang pendek dan ianya menjadi lebih teratur. Dengan mengadakan aktiviti ini, kami secara tidak langsung dapat meringankan beban penduduk kampung untuk membersihkan kawasan yang skalanya agak besar sekaligus sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penduduk kampung kerana sudi meluangkan masa dan menyertai program yang kami jalankan sepanjang tempoh tiga hari ini. Akhir sekali, harapan saya adalah agar penduduk kampung berasa gembira melihat kawasan di sekitar balai raya menjadi lebih ceria dan bersih.

Soraya
Gotong-royong merupakan aktiviti yang sangat membantu dalam merapatkan lagi hubungan antara para pelajar SPAS dan juga penduduk-penduduk Kampung Sentosa. Aktiviti ini juga dapat menjadikan kawasan kampung menjadi lebih ceria dengan adanya kerjasama antara para pelajar dan penduduk kampung membersihkan kawasan di sekitar balai raya tersebut. Aktiviti ini berjalan lancar seperti yang telah ditetapkan oleh ketua aktiviti. Walaupun dalam keadaan perkakasa gotong-royong yang kurang mencukupi dek kerana kekangan ruang kenderaan, namun dengan bantuan penduduk kampung dalam menyediakan beberapa peralatan dapat menjadikan aktiviti ini dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Kehadiran penduduk kampung bukan sahaja mempercepatkan lagi aktiviti ini selesai malah menceriakan lagi suasana pada pagi tersebut dengan gelak tawa bersama-sama pelajar SPAS.

Edwina
Saya berasa gembira kerana dapat berkhidmat kepada penduduk-penduduk di Kampung Sentosa setelah menerima kedatangan kami dengan hati yang terbuka. Walaupun ianya dibalas dengan hanya melakukan aktiviti gotong-royong di sekitar balai raya, saya berharap dengan aktiviti ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban penduduk kampung dalam menjaga kebersihan di kawasan kampung yang agak luas. Saya juga berasa bangga kerana dapat milihat initiatif rakan-rakan saya dalam bekerjasama membersihkan kawasan kampung tersebut dengan wajah yang ceria dan bersemangat. Saya juga turut berasa gembira kerana hubungan kami bersama penduduk kampung dapat terjalin ebih erat dari sebelumnya.

Aqila
Saya berasa begitu gembira kerana dapat turut serta dalam aktiviti gotong-royong ini kerana sudah lama saya tidak berkesempatan untuk melakukan aktiviti seperti ini. Ditambah pula, penduduk kampung di Kampung Sentosa itu sudi hadir dalam menjayakan aktiviti ini. Saya juga berasa berpuas hati kerana dapat melihat kawasan sekitar balai raya menjadi lebih bersih dan ceria. Ianya secara tidak langsung sebagai tanda ucapan terima kasih kepada penduduk-penduduk kampung kerana sudi meminjamkan kami dewan balai raya ini selama tiga hari dalam menjalankan program ini. Saya berharap dengan adanya aktiviti seperti ini dapat meringanan beban penduduk kampung itu sendiri dan dijadikan salah satu kenangan meis bersama kami ketika kami berada di kampung itu.

Umi Naziera
Dengan menjalan aktiviti gotong-royong ini di Kampung Sentosa, kami dapat membersihkan kawasan di sekitar balai raya kampung tersebut. Selain itu, aktiviti ini turut dapat menambahkan rasa cinta akan dalam sekitar. Saya turut berbangga pada kesemua pelajar SPAS tahun satu dimana dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya tanpa ada wujudnya sikap mementing diri sendiri dalam membersihkan kawasan yang berbeza. Dengan semangat kesepaduan ini dan juga dengan jasa baik warga kmpung yang sudi hadir dalam menjayakan aktiviti terakhir ini di kampung itu, kerja pembersihan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat dan lancar tanpa sebarang masalah.

No comments:

Post a Comment